|
PERUTUSAN PENGETUA CEMERLANG JUSA C SEKOLAH MENENGAH SAINS JOHOR Assalamualaikum dan Selamat Datang ke Laman Sesawang SM Sains Johor. Dengan besar hati dan rasa sukacita, saya mengalu-alukan anda semua ke laman sesawang SM Sains Johor yang merupakan sebahagian daripada usaha kecil kami untuk menonjolkan aktiviti, potensi, kecemerlangan dan kehebatan warga sekolah ini. Saya berharap, dengan melayari laman ini anda akan dapat melihat keunikan dan keistimewaan SM Sains Johor daripada pelbagai aspek yang membezakannya dengan sekolah-sekolah yang lain. SM Sains Johor amat berbangga untuk menjadi Sekolah Sains yang tertua di negeri Johor. Sebagai Sekolah Sains yang tertua, sekolah ini telah diwarnai pelbagai pengalaman yang menarik yang mematangkan dan mendewasakannya justeru dapat terus berdaya tahan untuk mendepani kemungkinan cabaran dan tuntutan masa depan. Kami sedar bahawa kami bertanggungjawab untuk memastikan kesinambungan kecemerlangan dalam kalangan modal insan yang dibentuk. Kami juga sedar bahawa modal insan yang dibentuk dan digilap merupakan pewaris kepimpinan negara pada masa akan datang yang dituntut untuk memperkasakan pembangunan negara supaya gah di mata dunia. Dengan pelbagai progam yang disusun atur sepanjang tahun, malahan untuk tahun-tahun akan datang, warga sekolah berikrar untuk sederap bersama-sama dalam menjayakan misi kami demi merealisasikan visi yang telah ditetapkan dengan faktor kemenjadian pelajar sebagai keutamaan dan petunjuk prestasi serta kualiti kami. Semoga laman sesawang ini akan dijadikan pintu masuk untuk membolehkan anda mengenali SM Sains Johor secara keseluruhan seterusnya mendapat manfaat daripadanya. Terima kasih |
Tinta Pengetua
